RAJA PERLIS TUNAI SOLAT SUNAT AIDILADHA DI KAWASAN TERBUKA

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 300 jemaah di Dataran Istiadat, Istana Arau pagi tadi.

Solat sunat di kawasan terbuka itu bermula pada jam 8 pagi dan berakhir sekitar 8.30 pagi dengan jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sebelum terus bersurai selepas solat berkenaan.

Solat tersebut dipimpin Imam Besar Negeri, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar manakala khutbah disampaikan Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Ahmad Sirajuddin memaklumkan, keputusan membenarkan solat sunat di kawasan terbuka memberi peluang kepada lebih ramai jemaah untuk hadir.

“Melalui keputusan itu ia memberi peluang lebih ramai jemaah hadir.

“Kita buka ruang untuk semua yang berumur 12 hingga 59 tahun hadir manakala untuk 60 tahun dan ke atas perlu lengkap dua dos vaksin.” katanya.

Sambutan Aidiladha di Perlis diraikan dalam suasana penuh keceriaan meskipun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (SOP).

Ibadah korban dilaksanakan secara sederhana di masjid-masjid dengan pematuhan SOP yang ditetapkan. — AlHijrah Online

Leave a Reply