LELAKI MAKI HAMUN KERANA DITEGUR TIDAK PAKAI PELITUP MUKA DITAHAN POLIS

KUALA LUMPUR: Polis telah menahan seorang pemilik gimnasium yang dipercayai telah memaki hamun serta memarahi seorang peniaga dan pelanggan selepas ditegur tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya yang terletak berdekatan gerai berkenaan kira-kira jam 8 malam tadi.

“Suspek telah ditahan reman bermula hari ini sehingga esok,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana melakukan ugutan jenayah.

Suspek juga disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Kejadian tersebut berjaya dirakam seorang individu dan video rakaman berdurasi 29 itu turut tular di media sosial.

Susulan kejadian itu, anak penjual nasi lemak terbabit bertindak membuat laporan polis. — AlHijrah Online

Leave a Reply