RAJA SALMAN TAJA 1,000 JEMAAH HAJI WARGA PALESTIN

Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud

RIYADH: Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud telah mengeluarkan titah diraja untuk menaja dan menjadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji warga Palestin yang terdiri daripada waris kepada para syuhada dan tahanan serta mereka yang mempunyai ahli keluarga yang cedera, untuk menunaikan haji tahun 1444 Hijrah.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada acara tahunan program tetamu Penjaga Dua Masjid Suci yang dilaksanakan dan diselia oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Sheikh Dr Abdullatif bin Abdulaziz Al Sheikh, mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini.

Beliau berkata sokongan itu membolehkan dan memudahkan waris para syuhada dan tahanan serta mereka yang mempunyai keluarga yang cedera di Palestin untuk menunaikan ibadah haji.

“Kesinambungan sikap murah hati terhadap jemaah haji Palestin yang menunaikan haji setiap tahun dengan tajaan Penjaga Dua Masjid Suci ini adalah sebagai tanda kekuatan hubungan dua negara dan penghargaan baginda terhadap pengorbanan besar yang dilakukan oleh rakyat Palestin,” katanya.

Program untuk tetamu Penjaga Dua Masjid Suci merangkumi semua aspek melaksanakan ibadah haji, termasuk mengunjungi Masjid Nabawi dan tempat-tempat bersejarah, mengadakan pertemuan budaya dan ilmiah serta menyelaraskan pertemuan imam Dua Masjid Suci dengan mereka. — AlHijrah Online

Leave a Reply