PERTAMA KALI ATM DITEMPATKAN DI PENGINAPAN JEMAAH TH, TIADA FI BAGI PELANGGAN BANK ISLAM

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) buat pertama kalinya menempatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di penginapan jemaah Malaysia di Makkah.
Perkhidmatan yang dikecualikan fi sepanjang musim haji untuk pelanggan Bank Islam itu memudahkan jemaah untuk mengeluarkan wang tanpa perlu berjalan jauh.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, mesin milik Alinma Bank itu diletakkan di Abraj Al-Janadriyah dengan kebenaran Bank Negara Arab Saudi bagi menambah baik perkhidmatan TH kepada jemaah.
“Perkara ini tanda TH sentiasa mencari jalan untuk menambah baik perkhidmatan TH kepada jemaah haji.
“Penyediaan ATM ini satu lipatan sejarah kerana ia kali pertama disediakan di dalam bangunan penginapan jemaah haji Malaysia,” katanya kepada media Malaysia di Makkah.
Jelas Syed Saleh, Bank Islam akan menanggung fi pengeluaran sebanyak 10 Riyal untuk pelanggannya manakala jemaah yang menggunakan bank lain masih dikenakan caj pengeluaran.
Sebelum ini jemaah perlu berjalan kira-kira 750 meter ke ATM terdekat iaitu di Menara Safwah berhampiran Masjidil Haram.
Syed Saleh berkata permohonan untuk menempatkan ATM itu telah dibuat sejak 2018 bagi memudahkan warga emas selain mengelakkan jemaah banyak terdedah kepada cuaca panas. – AlHijrah Online