‘RAKAN MUDA’ KEMBALI, PELANCARAN OLEH PM ANWAR AHAD INI

KUALA LUMPUR: Program Rakan Muda yang dinaungi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan kembali dengan pelancaran semulanya akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahad ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Rakan Muda yang diperkenalkan oleh KBS pada Oktober 1994 akan diberi nafas baharu, namun mengekalkan slogan sama iaitu ‘Yakin Boleh’.

Menerusi jemputan yang dihantar kepada media hari ini, KBS memaklumkan, Anwar akan turut disertai bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Abdul Ghani Othman dan Menteri Belia dan Sukan kini, Hannah Yeoh.

Antara program yang dimuatkan dalam pelancaran tersebut adalah tayangan video Imbasan Rakan Muda.

Sementara itu di platform media sosial KBS dan Rakan Muda, pelbagai hebahan telah dibuat bagi mempromosikan pelancaran Rakan Muda, melalui video-video yang turut meletakkan kapsyen Rakan Muda, Comeback is Real.

Rakan Muda adalah program pemupukan minat, penggilapan bakat dan penyerlahan potensi diri melibatkan belia berumur 15 hingga 25 tahun yang diperkenalkan kerajaan hampir tiga dekad lalu.

Ketika fasa pertama pelancarannya, Rakan Muda merangkumi sembilan gaya hidup mengikut minat semasa remaja. Sembilan gaya hidup berkenaan adalah Rakan Sukan, Rakan Wirausaha dan Wiramahir, Rakan Seni Budaya, Rakan Rekreasi, Rakan Wajadiri dan Rakan Masyarakat.

Tiga lagi gaya hidup Rakan Muda adalah Rakan Cinta Alam, Rakan Kecerdasan dan Rakan Rekacipta.

Visi pelaksanaan program itu ialah melahirkan belia positif yang berdaya saing, berketrampilan dan bertanggungjawab dalam membina masa depan negara bagi mencapai matlamat Dasar Belia Malaysia.

Mac lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, Rakan Muda akan diperkasakan menerusi pelbagai penambahbaikan agar dapat memberi impak lebih menyeluruh dan positif kepada belia. –Alhijrah Online

Leave a Reply