RASUL MELAYU: “SAYA PERNAH BERTEMU DIA DAN DIBERITAHU SUDAH BERTAUBAT” – ZULKIFLI

SEPANG: Susulan penahanan ‘Rasul Melayu’ oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan beliau pernah bertemu dengan lelaki terbabit ketika dia dalam tahanan di Penjara Kajang.

Ketika itu Zulkifli berkata, ‘Rasul Melayu’ yang juga dikenali sebagai Abdul Kahar Ahmad memaklumkan sendiri kepadanya bahawa dia sudah bertaubat.

“Saya semasa jadi Mufti Wilayah dulu masuk Penjara Kajang dan bertemu dengan dia dan diberitahu dekat saya sudah bertaubat.

“Kita bila orang dah taubat kita terima. Namun selepas ini kita akan ambil perhatian khusus dan kumpul maklumat untuk proses yang boleh diambil selepas ini,” katanya kepada media selepas diminta mengulas berhubung penahanan ‘Rasul Melayu’ semalam.

Beliau ditemui selepas hadir pada Majlis Multaqa Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Hotel Sama-Sama, di Sepang.

Turut mencemar duli ke majlis tersebut Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah.

Berhubung isu ajaran sesat, tambah Zulkifli pihaknya juga akan mengiatkan kerjasama dengan jabatan agama Islam di setiap negeri bagi membendung permasalahan itu dengan lebih komprehensif.

Sebelum ini, pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah pernah memerintahkan Abd Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat.

Dia kemudian dibebaskan pada tahun 2016 dan mengisytiharkan dirinya bertaubat serta turut menandatangani Dokumen Pengisytiharan Taubat dalam satu majlis anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pun begitu dia ditahan semalam bersama 16 lagi pengikutnya selepas dipercayai mengamalkan Ajaran Haji Kahar Bin Ahmad yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor pada 19913. — AlHijrah Online.

Leave a Reply