PELAJAR TINGKATAN LIMA MAUT DILANGGAR PEMABUK

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta Produa Myvi yang dipandu seorang pemandu mabuk.

Kemalangan dilaporkan berlaku di Jalan Raja Laut awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa Muhammad Hazeq Hakimi Romli, 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kemalangan berlaku selepas kereta dipandu pemabuk itu datang dari susur Jalan Sri Amar, Chow Kit mengubah laluan secara melintang untuk masuk ke Lorong Tiong Nam.

Mangsa yang ketika itu sedang bergerak lurus gagal mengelak dan melanggar pintu sisi depan bahagian kiri kereta berkenaan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat itu disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Hasil semakan yang dijalankan ke atas pemandu Myvi terbabit, jumlah alkohol dalam tubuhnya melebihi paras dibenarkan.

Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pelatih anjing itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — AlHijrah Online

Leave a Reply