KUALA LUMPUR: Muhamad Razin Che Mud atau lebih dikenali Razin Mestica hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID Malaysia).
Muhamad Razin yang telah memegang jawatan itu selama lapan tahun sejak 2017 mengumumkan berita tersebut menerusi hantaran di Facebooknya.
Katanya, MUNSYID Malaysia memerlukan suntikan tenaga, idea serta semangat baru bagi melonjakkan organisasi tersebut ke tahap lebih tinggi.
“Saya yakin dan percaya MUNSYID Malaysia mempunyai ramai figura yang berkebolehan dari pelbagai aspek yang mampu meneraju organisasi ini.
“MUNSYID Malaysia telah berkembang dari sebuah organisasi kecil sehingga menjadi jenama yang dikenali dan dipercayai oleh pelbagai pihak,” katanya.
Ujar Muhamad Razin, pelbagai kejayaan telah berjaya dicapai oleh pimpinan MUNSYID Malaysia serta ahli-ahlinya, yang telah menjadi indikator positif kepada pembangunan industri nasyid Malaysia.
Antara usaha memartabatkan industri nasyid Malaysia termasuk penganjuran anugerah nasyid oleh IKIMfm dan TV AlHijrah, juga Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) yang menjadi penanda aras baru kepada industri tersebut, katanya.
Ia juga termasuk kandungan video berunsurkan nasyid dan islamik yang mendapat capaian tinggi serta kejayaan dua orang munsyid yang tersenarai dalam 10 royalti pelaku tertinggi di Malaysia.
“Perkembangan mutakhir, Konsert 25 Tahun Inteam menjadi fenomena apabila tiket konsert tersebut habis terjual tidak sampai sejam sejak dilancarkan.
“Profil pembeli tiket menunjukkan sebahagian besar adalah daripada Gen Z dan Alpha yang turut memberi perhatian kepada lagu-lagu nasyid yang sinonim kepada Gen X dan Millenials,” tambahnya.
Muhamad Razin dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada barisan exco munsyid termasuk semua ahli yang telah memberikan peluang kepadanya untuk berkhidmat dalam organisasi tersebut.
“Selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan baru yang bakal dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan MUNSYID Malaysia pada Ahad ini. Semoga sahabat sekalian akan membawa organisasi ini terbang lebih tinggi.
“Semoga Allah mengampuni dosa kita semua dan menjadikan segala kerja kita diangkat sebagai ibadah yang membuahkan pahala serta membawa kita ke syurga,” katanya.
Antara nama-nama yang dicadangkan penggiat nasyid negara untuk memegang jawatan Presiden MUNSYID Malaysia termasuk Muhammad Hazamin Harun (Hazamin InTeam), Dr Fitri Haris (Fitri UNIC) serta Mohd Erwan Johari (DJ Erwan Johari IKIMfm).–AlHijrah Online