GEORGE TOWN: Tempoh reman bapa kepada murid perempuan yang disyaki didera disambung hingga 29 Mei ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai penyelia kilang di Bayan Lepas ditahan pada Selasa lepas dan telah direman selama empat hari yang berakhir hari ini.
“Polis telah mendapatkan sambungan reman terhadap bapa mangsa selama lima hari hingga 29 Mei bermula esok bagi membolehkan kami melengkapkan siasatan kes tersebut.
“Berdasarkan siasatan dan pemeriksaan mendapati abang sulung (15 tahun) kepada kanak-kanak perempuan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak didera atau dipukul, namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan lebam dan luka di belakang badan dipercayai dirotan dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Ara.
Isteri kepada lelaki berkenaan yang berusia 49 tahun, masih dalam tahanan reman yang akan berakhir esok, dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. —AlHijrah Online