RENTAS NEGARA MALAYSIA-SINGAPURA BERMULA 29 NOVEMBER – PM MALAYSIA, SINGAPURA

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura akan memulakan kembali perjalanan rentas sempadan menerusi Lorong Perjalanan Vaksinasi atau Vaccinated Travel Lane (VTL) dengan menggunakan jalan udara, bermula 29 November ini.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelancong yang lengkap divaksinasi dapat melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, tertakluk kepada ujian saringan COVID-19 sebagai ganti kuarantin wajib.

Keputusan tersebut dibuat bersama Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerusi panggilan telefon, hari ini.

“Kami bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membenarkan semula perjalanan rentas sempadan memandangkan kemajuan ketara telah dicapai oleh Malaysia dan Singapura dalam pemberian vaksin dan pengurusan pandemik COVID-19 secara amnya.

“Dengan itu, Malaysia dan Singapura bersetuju melancarkan Vaccinated Travel Lane (VTL) di antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mulai 29 November 2021,” menerusi kenyataan Ismail Sabri di Facebooknya.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin tersebut berharap untuk memulihkan laluan perjalanan merentasi darat di antara kedua-dua negara dalam masa terdekat termasuk pembukaan semula perjalanan merentasi Tambak Johor dan Link Kedua.

Ujar Ismail, VTL merupakan antara kejayaan penting dalam kerjasama antara Malaysia dan Singapura yang telah lama terjalin.

“Saya yakin, inisiatif ini dapat memulihkan ekonomi kedua-dua negara sambil mengimbangi keperluan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terpelihara daripada COVID-19,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply