KEBANYAKAN ISU EDISI SIASAT HANYA REKAAN DAN CUBA DISENSASIKAN – KETUA POLIS NEGARA

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR: Kebanyakan berita salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh pengendali saluran akaun Twitter @edisi_siasatmy di media sosial, adalah berita yang sengaja diada-adakan, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Jelasnya, setakat ini pihaknya sudah membuka 13 kertas siasatan berhubung perkara itu.

Ia bagi menyiasat dan mengenal pasti pihak yang berada di belakang laman sosial berkenaan.

Acryl Sani berkata setiap perkara yang dinyatakan oleh Edisi Siasat berkenaan akan disalurkan kepada Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) jika ia membabitkan Polis Diraja Malaysia untuk disemak kebenaran berita tersebut.

“Ingin saya nyatakan di sini bahawa setiap perkara yg disebarkan dalam Edisi Siasat tersebut, kebanyakannya adalah merupakan berita yang diada-adakan untuk mewujudkan suasana sensasi.

“Dan setakat ini kita masih lagi menjalankan siasatan dan kita harap dan kita percaya dalam tempoh terdekat ini kita akan dapat mengenal pasti siapakah mereka individu atau pun sekumpulan individu yang berada di belakang tabir Edisi Siasat ini,” katanya.

Pada 1 November lalu, polis menerima 11 laporan daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah seperti didedahkan pengendali sosial Edisi Siasat.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri dilaporkan sedia bekerjasama dengan pihak yang membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah laku rasuah termasuk seperti yang didedahkan pengguna laman sosial dinamakan Edisi Siasat sejak bulan lalu.

Antara kes yang didedahkan termasuk dakwaan kes kartel daging, kes kehilangan wang RM25 juta serta 1MDB.

Akaun Twitter itu juga memaparkan dakwaan beberapa pegawai tertinggi di Bukit Aman menjual pangkat polis selain menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah termasuk dalam bentuk kambing dan lembu. –AlHijrah Online

Leave a Reply