TUNTUT INSURAN PALSU, LELAKI PUTUS TANGAN DAN RAKAN DIDENDA RM2,000

BUTTERWORTH: Dua lelaki didenda RM 2,000 oleh Mahkamah Munisipal Seberang Perai Butterworth atas kesalahan membuat tuntutan insurans palsu sebanyak RM500,000 pada April 2019.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman membuat keputusan tersebut selepas kedua-dua tertuduh Muhammad Akmal Aliff Omar, 29, dan Muhamad Rizal Ahmad, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan semula hari ini.

Mereka dituduh secara bersama telah menipu syarikat The Pacific Insurance Berhad pada 4 April 2019 yang mendorong syarikat itu untuk membuat bayaran tuntutan insurans sebanyak RM500,000 atas tuntutan kemalangan yang tidak wujud.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 417 atau Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin, manakala Muhammad Akmal Aliff dan Muhamad Rizal diwakili peguam Lily Syarmeela Asyiqin Hamid.

Semasa prosiding, Lily Syarmeela Asyiqin memohon mahkamah meringankan hukuman kedua-dua anak guamnya dengan alasan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan mereka selain tidak memperoleh sebarang keuntungan hasil tuntutan insurans tersebut.

Malah Muhammad Akmal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Muhamad Rizal yang bekerja kampung dengan pendapatan masing-masing RM1,000 sebulan juga perlu menyara keluarga.

Jumaat lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Butterworth, Nigel Jirin di mahkamah sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 setiap seorang.

Mengikut fakta kes, Muhamad Akmal membuat tuntutan insurans mendakwa Muhamad Rizal telah melanggarnya semasa menunggang motosikal di KM 161.5 Lebuh Raya Utara Selatan sehingga menyebabkan tangan kirinya putus sehingga ke paras bahu.

Bagaimanapun, menerusi hasil siasatan yang dilakukan syarikat yang dilantik pihak insurans, mereka mendapati tiada kemalangan berlaku melibatkan motosikal dan kereta sebaliknya Muhamad Akmal terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan sehingga menyebabkan tangan kirinya putus. –Alhijrah Online

Leave a Reply