ABANG PARAH DITIKAM ADIK TEGUR TUNGGANG MOTOSIKAL TANPA IZIN

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera parah ditikam adiknya berusia 15 tahun dengan pisau lipat selepas menegur remaja itu keluar menunggang motosikal tanpa pengetahuan kakaknya, semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima maklumat kejadian di bawah blok sebuah pangsapuri di Taman Putra Damai, Kelana Jaya pada jam 12.08 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan membabitkan tiga lelaki termasuk mangsa berusia 24 tahun yang ditemui terbaring di lantai dengan kesan darah di dada dan perut.

Katanya, polis yang ke tempat kejadian mendapati seorang lagi lelaki iaitu rakan mangsa berusia 19 tahun pula dilihat sedang duduk di kerusi dengan kesan cedera belakang badan kiri, manakala suspek yang tidak bersekolah duduk di kerusi berhampiran abangnya.

“Menurut saksi kejadian, rakan mangsa cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu, namun turut terkena pisau lipat yang dipegang oleh suspek.

“Suspek akhirnya membuang pisau tersebut di lantai setelah kedua-duanya tercedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

“Hasil siasatan lanjut, kejadian dipercayai berpunca apabila abang suspek berang terhadap suspek ketika mengetahui dia keluar menunggang motosikal tanpa pengetahuan kakak mereka.

“Kita menemui satu pisau lipat berukuran empat inci yang dipercayai digunakan suspek di tempat kejadian dan suspek yang juga tidak bersekolah ditahan sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pagi ini untuk permohonan reman,” katanya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (mencuri).

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. –AlHijrah Online

Leave a Reply