ROTAN PEKERJA KERANA BERPUASA, HINA AGAMA ISLAM

Sumber Gambar: Awam

SHAH ALAM: Empat individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kejadian merotan dua pekerja lelaki di bahagian belakang badan secara bergilir kerana berpuasa.

Lapor BERNAMA, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 4.16 petang semalam di Balai Polis Klang.

Menurutnya, kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikann dan seorang lagi pekerja.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa lelaki tersebut berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang dan suspek dipercayai berang kerana pekerjanya itu berpuasa,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Amar memberitahu, majikan lelaki tersebut juga telah mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada dua lelaki tersebut, dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Klang, hari ini.

“Polis Daerah Klang Selatan ingin menegaskan bahawa, kes ini tidak melibatkan sebarang isu perkauman,” katanya.

Shamsul Amar juga menasihatkan masyarakat atau mana-mana individu, agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman, sehingga menjejaskan keharmonian kaum dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang- undang.–AlHijrah Online

Leave a Reply