KUALA LUMPUR: Aliran Asyairah dan Maturidiah merupakan manhaj yang mewakili majoriti pegangan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia dan di Nusantara.
Mutfi Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berkata perkara itu menjadi antara justifikasi utama takrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah bersumberkan aliran Asyairah dan Maturidiah dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
“Kalau kita belajar ilmu akidah dari peringkat bawah hingga peringkat tinggi kita akan temui istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan takrifan Asyairah dan Maturidiah.
“Kita bukan mahu menafikan aliran lain tapi merujuk kepada arus besar dalam dunia Islam yang telah menerima pakai manhaj ini ataupun aliran ini dalam bidang pengajian akidah,” katanya dalam program Analisis di TV AlHijrah malam ini.
Menurut Dr Luqman dalam RUU Mufti terdapat dua seksyen yang melibatkan takrifan Asyairah dan Maturidiah iaitu pelantikan mufti dan timbalan mufti serta proses untuk mengeluarkan fatwa.
Tambahnya ketika proses merangka RUU Mufti pihak yang berkenaan mendapati beberapa negeri di Malaysia juga mengunakan takrif sama dalam pelbagai enakmen seperti pentadbiran agama, undang-undang tubuh kerajaan negeri dan kaedah tauliah.
“Terdapat sekurang-kurangnya tujuh negeri yang mentakrifkan perkara sama. Jadi itu menjadi panduan kita dalam merangkan aliran RUU Mufti dan kita masukkan takrif Asyairah dan Maturidiah,”katanya.
RUU Mufti penting bagi memelihara semangat sebuah persekutuan, memartabatkan Institusi Raja-Raja, memelihara warisan dan adat istiadat negara serta mengekang elemen radikalisme dalam negara ini
Ia dijangka akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15. — AlHijrah Online