RWANDA SASAR SEJUTA TELEFON PINTAR UNTUK GOLONGAN MISKIN
KIGALI: Rwanda melancarkan kempen khas mengumpulkan sejuta telefon pintar melalui sumbangan untuk diagihkan kepada keluarga-keluarga miskin di seluruh negara Afrika itu.
Kempen “Connect Rwanda” yang akan dijalankan sehingga Mac tahun ini, bertujuan meningkatkan pemilikan telefon pintar, yang mana berada pada kadar 20 peratus mengikut data rasmi.
Statistik Kementerian Teknologi, Komunikasi dan Informasi (ICT) menunjukkan hanya 1.6 juta daripada 10 juta populasi Rwanda memiliki telefon bimbit.
“Kempen Connect Rwanda bertujuan meningkatkan pemilikan telefon pintar dalam negara ini. Ketika ini, kadar penembusan telefon berada pada 79.8 peratus, manakala pemilikan telefon pintar masih rendah pada kadar 14.6 peratus,” kata Menteri ICT dan Inovasi Rwanda, Paula Ingabire kepada agensi berita Anadolu hari ini.
Ingabire berkata telefon pintar amat kritikal dalam membantu penduduk Rwanda akses kepada maklumat dan perkhidmatan atas talian.
“Hari ini, beberapa perkhidmatan di Rwanda didigitalkan dan banyak perniagaan mula bergerak ke arah e-perdagangan. Telefon pintar kekal sebagai alat penting bagi rangkaian nilai digital ini,” katanya.
Kira-kira 40,000 telefon pintar telah diikrarkan di bawah kempen itu yang dilancarkan sejak hujung Disember lalu.
Presiden Rwanda, Paul Kagame antara individu yang menyertai kempen itu dan berikrar menyumbang 1,500 telefon pintar buatan Rwanda.
“Telefon pintar tidak sepatutnya menjadi barangan mewah. Mari kita cabar semua orang menjadikan telefon pintar alat harian yang akan membolehkan setiap warga Rwanda mencapai potensi mereka,” kata Kagame dalam ciapan Twitternya. – Terjemahan AlHijrah Online