SAHABAT KORPORAT TH SALUR RM9.4 JUTA KEPADA JEMAAH TAHUN INI

KUALA LUMPUR : Program Sahabat Korporat Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM9.4 juta untuk jemaah haji tahun ini, kata Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof.

Beliau berkata sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan jemaah haji ke Tanah Suci antaranya beg beroda, beg sandang, bahan bacaan dan peralatan kesihatan disumbang 28 organisasi korporat dan syarikat swasta.

Katanya kejayaan operasi haji tahun ini adalah hasil hubungan erat dan kerjasama padu yang diberikan daripada pelbagai pihak terutama agensi kerajaan serta swasta dan TH akan terus memberi perkhidmatan cemerlang dengan memberi penekanan kepada kebajikan dan keselesaan jemaah haji.

“Program seumpama ini banyak membantu meringankan beban kewangan dan juga memberi kemudahan kepada para bakal jemaah haji ketika menyediakan kelengkapan barang keperluan untuk kegunaan ketika di Tanah Suci.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua syarikat yang sudi menyertai usahasama strategik TH ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH 1440H/2019M di Menara TH di sini hari ini.

Turut hadir Konsular Kedutaan Arab Saudi di Malaysia Ali Ibrahim Alheji; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Nik Mohd Hasyudeen Yusoff; dan Pengurus Besar Kanan Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman juga Ketua Rombongan Haji Malaysia 1440H/2019M.

Md Nor berkata TH berharap lebih banyak badan korporat dan syarikat swasta tampil memberi sokongan dengan menyertai program Sahabat Korporat TH pada musim haji akan datang demi menjamin kebajikan dan kesejahteraan jemaah menunaikan ibadah haji. — BERNAMA

Leave a Reply