‘SAJJAD TETAP LELAKI DI MALAYSIA’ – AHMAD MARZUK

PUTRAJAYA: Jantina usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau digelar Nur Sajat, di Malaysia kekal sebagai lelaki seperti yang tertera di kad pengenalannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Malaysia menentukan jantina setiap individu berdasarkan maklumat yang tertera dalam kad pengenalan masing-masing.

“Jantina dia (Sajjad) adalah sebagaimana dalam IC (kad pengenalan) di negara kita dan itu yang kita guna pakai.

“(Kad pengenalan) adalah dokumen yang sah di negara ini untuk menentukan jantina dia (Sajjad) dan sama ada dia ingin pilih negara atau alam mana untuk tentukan jantina, perkara itu kita tidak campur,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Manual Komuniti Hijrah (Lesbian dan Gay) di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Sajjad mendakwa beliau telah menukar jantinanya kepada wanita secara sah di Australia.

Sebelum ini, Sajjad diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada Jun 2021, polis turut menjejaki beliau bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.–AlHijrah Online

Leave a Reply