Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

‘SAKIT INI PANGGILAN LEMBUT TUHAN’ – KISAH INSPIRASI CIKGU E, PEJUANG KANSER TAHAP EMPAT

UTAMA

‘SAKIT INI PANGGILAN LEMBUT TUHAN’ – KISAH INSPIRASI CIKGU E, PEJUANG KANSER TAHAP EMPAT

Ujian kesakitan tidak sedikit pun mencalar iman, malah menjadi kanvas untuk melukis erti ketabahan yang sebenar. Inilah semangat juang luar biasa yang ditunjukkan oleh Nassry Mardee Ismail, atau Cikgu E, seorang guru yang kini bertarung dengan kanser tahap 4.

Sumber: nassrymardeeismail

IPOH: Ujian kesakitan tidak sedikit pun mencalar iman, malah menjadi kanvas untuk melukis erti ketabahan yang sebenar. Inilah semangat juang luar biasa yang ditunjukkan oleh Nassry Mardee Ismail, atau Cikgu E, seorang guru yang kini bertarung dengan kanser tahap 4.

Kisah Cikgu E kini menjadi sumber inspirasi di media sosial. Walaupun sedang bertarung dengan penyakit kronik, guru Sains Sukan ini memilih untuk berkongsi perjalanannya dengan penuh reda dan pandangan positif, menyentuh hati ribuan yang mengikutinya.

Melalui beberapa hantaran, Cikgu E menceritakan detik permulaan penyakitnya. Beliau disahkan menghidap kanser buah pinggang, yang memerlukan buah pinggang kirinya dibuang. Dugaan tidak terhenti di situ apabila kanser tersebut didapati telah merebak ke kelenjar, dan kini ke paru-paru.

Perjuangan ini bukan sahaja menuntut kekuatan mental dan fizikal, tetapi juga melibatkan kos yang amat tinggi. Beliau berkongsi bahawa rawatan Immunotherapy yang perlu diambilnya setiap tiga minggu menelan belanja RM23,000 setiap sesi.

Namun, apa yang benar-benar meruntun dan memberi inspirasi kepada netizen adalah cara beliau mentafsir kesakitan yang dialaminya. Dalam satu perkongsian video yang penuh emosi, Cikgu E mengakui bahawa pada awalnya, berita daripada doktor dirasakan “seperti ombak besar yang menghentam dada.”

“Kadang aku termenung lama. Orang nampak aku tenang, tapi mereka tak tahu berapa lama masa yang aku ambil untuk belajar tenang begini,” luahnya. Perlahan-lahan, beliau belajar melihat ujian ini dari sisi yang berbeza.

“Kini aku belajar melihat dari sisi lain. Sakit ini bukan hukuman, tapi panggilan lembut daripada Tuhan yang rindu mendengar rintihan hamba-Nya. Di sebalik setiap denyut perit, ada kasih yang halus, ada sentuhan rahmat yang tak dapat dilihat oleh mata,” tulisnya.

Bagi Cikgu E, reda bukan bererti berhenti berharap, tetapi “meletakkan seluruh harapan hanya kepada Allah, tanpa banyak soal, tanpa rungutan, tanpa kenapa.”

Keimanannya tidak hanya terucap di bibir. 

Dalam satu hantaran lain, beliau berkongsi pengalamannya bersama Ustaz Mohammad Yaakub Yusra di Pantai Hospital Ipoh, menekankan kepentingan solat walau dalam apa jua keadaan.

“Selagi hayat dikandung badan, solat tetap diutamakan. Walau lemah, walau terbaring, bukan alasan untuk meninggalkan kewajipan pada Tuhan. Kerana setiap sujud itu bukan beban, ia adalah ketenangan,” tegasnya.

Ketika artikel ini ditulis hantaran di media sosial itu mendapat lebih 12,000 tanda suka dan ratusan komen yang rata-ratanya mendoakan kesembuhan dan memberikan kata-kata semangat.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading