Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SAMBUTAN LUAR JANGKA, PBAKL CATAT LEBIH SETENGAH JUTA PENGUNJUNG DALAM TIGA HARI

DALAM NEGARA

SAMBUTAN LUAR JANGKA, PBAKL CATAT LEBIH SETENGAH JUTA PENGUNJUNG DALAM TIGA HARI

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 mendapat sambutan luar jangkaan selepas merekodkan lebih setengah juta pengunjung yang hadir dalam tempoh tiga hari, sejak Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 mendapat sambutan luar jangkaan selepas merekodkan lebih setengah juta pengunjung yang hadir dalam tempoh tiga hari, sejak Jumaat lalu.

Angka memberangsangkan itu bukti budaya membaca dan minat terhadap buku masih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Membawa tema ‘Buku: Membaca dan Memimpin’, Pengerusi Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron berkata budaya membaca menjadi asas penting dalam membentuk pemimpin yang berwibawa.

Menurutnya, seseorang yang rajin dan membanyakkan membaca dapat membentuk pemikiran yang kritis serta luas yang boleh melahirkan kepimpinan yang berilmu tinggi dan berwawasan.

“Kita dapat lihat kombinasi baik antara membaca dan memimpin dan satu sinergi yang tidak boleh dielakkan jika kita ingin menjadi manusia yang berjaya,” katanya hari ini.

Mohd Khair berkata, PBAKL yang telah menjadi acara tahunan telah menambah baik susun atur reruai dengan susunan yang lebih teratur dan komprehensif bagi memudahkan pergerakan pengunjung.

Susunan reruai pada kali ini lebih baik daripada tahun sebelum ini membolehkan pengunjung bergerak dengan lebih lancar serta selesa, katanya.

“Kami turut menyediakan papan panduan serta tunjuk arah yang tepat dan jelas bagi memudahkan pengunjung sampai ke destinasi yang dituju, selain ruang khas untuk mereka berbincang atau berehat,” katanya.

Antara keistimewaan PBAKL ialah turut dianjurkan secara hibrid yang diperkenalkan semasa Malaysia dilanda COVID-19.

Langkah itu bagi memastikan orang ramai termasuk pengunjung luar berpeluang mendapatkan buku yang diinginkan.

PBAKL yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sejak 23 Mei lalu hingga 1 Jun yang mempamerkan 1,172 reruai dan 258 pempamer termasuk 28 pempamer antarabangsa dari negara ASEAN, Iran, United Kingdom (UK) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kesemua 14 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut terlibat sama di PBAKL 2025 dengan menganjurkan Pavilion al-Falah; ekspo buku dan pameran yang mengetengahkan pelbagai penerbitan serta informasi berkaitan perkhidmatan agensi hal ehwal agama Islam kepada masyarakat umum.

Pavilion al-Falah menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat sepanjang pesta berlangsung, antaranya pameran, pelancaran buku baharu, resensi buku, sesi bersama penulis buku, sesi bicara penulisan, dan forum ilmiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dijangka akan merasmikan Pavilion al-Falah serta pelancaran 22 buku baharu terbitan agensi di bawahnya, pada Selasa 27 Mei di Pentas Utama PBAKL Aras 2 WTCKL.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

1 Comment

1 Comment

  1. Pingback: PBAKL 2025 Catat Lebih Setengah Juta Pengunjung Dalam Tiga Hari Pertama, Kelajuan Internet di WTCKL Mengecewakan – hdinhafizuddin

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading