SANUSI UTUS WARKAH KEPADA SULTAN SELANGOR, PERJELAS MAKSUD UCAPAN

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengutuskan warkah kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung dakwan beliau mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.

Menurut Muhammad Sanusi, warkahnya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf berharap tidak timbul kemurkaan baginda.

“Saya sudah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang sengaja diputar belit itu.

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, awal pagi tadi.

Muhammad Sanusi berkata, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor memperkenan untuk menerima serta membaca warkah yang diutuskannya semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak memuat naik warkah tersebut bagi memelihara kemuliaan Sultan Selangor selain menjaga adat dan adab berurusan dengan Istana.

“Berkaitan itu juga, saya sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman pada jam 2 pagi semalam untuk melengkapkan siasatan ke atas laporan-laporan yang dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan lain-lain.

“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih supaya terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” katanya.

Sebelum ini tular ucapan Muhammad Sanusi yang didakwa yang menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).—AlHijrah Online

Leave a Reply