KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima 100 ringgit secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ikhtiar yang memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion tersebut akan diberikan secara individu.
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai- kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya dalam Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia, hari ini.
Jelasnya, peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025, yang juga merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.–AlHijrah Online