SARJAN POLIS DIDAKWA 42 PERTUDUHAN RASUAH

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas 42 pertuduhan menerima rasuah daripada dua individu dengan jumlah keseluruhan RM11,600.

Tertuduh, Abdul Ghafa Harun, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan 34 kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai anggota polis trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang telah menerima suapan bernilai RM200 melalui pindahan atas talian yang mana mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi daripada individu, Ong Mooi Kiong.

Manakala lapan pertuduhan berikutnya, Abdul Ghafa telah menerima suapan iaitu wang tunai bernilai RM600 atas perkara yang sama secara atas talian daripada individu bernama Adam Malik Jakirman.

Kesemua 42 kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank, cawangan berserah Kuantan dari 2 Januari 2017 sehingga 3 Disember 2019.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zaharim manakala tertuduh diwakili peguam, Fakrul Redha Paridul Adras.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Pejabat SPRM Kuantan bermula Februari depan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 9 mac depan. – AlHijrah Online

Leave a Reply