SEKATAN KECEWAKAN RAMAI ORANG, JEJAS PERDAGANGAN: TUN MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi bahawa sebarang sekatan akan hanya mengecewakan ramai orang termasuk negara, yang dalam perdagangan dengan negara yang terlibat.

Dengan menekankan bahawa beliau tidak percaya dengan sekatan, Perdana Menteri meminta pihak yang berkenaan agar menyelesaikan masalah tanpa menimbulkan sebarang perbalahan.

“Jika anda mengenakan sekatan, anda akan mengecewakan ramai orang. Bukan sahaja Iran… dan (bila) anda mengenakan sekatan terhadap Iran, Malaysia juga menanggung tempiasnya kerana kita kehilangan pasaran kita.

“Jadi masyarakat hendaklah berunding dan menyelesaikan masalah di meja bulat, bukan bergaduh antara satu sama lain dan mengenakan sekatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) 2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung ketegangan memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran susulan pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani, komander tentera tertinggi Iran dalam serangan udara oleh AS pada 3 Jan. Dilihat sebagai tindakan balas terhadap serangan Amerika yang membunuh Qassem, Iran kemudian melancarkan lebih sedozen serangan peluru berpandu ke arah dua pangkalan Iraq yang menempatkan tentera AS.

Menurut laporan-laporan berita, pentadbiran AS pada Jumaat (10 Jan) mengenakan sekatan baharu ke atas Iran susulan serangan balas ke atas AS dan tenteranya di Iraq awal minggu itu.

Tindakan hukuman selanjutnya oleh AS disasarkan kepada pelbagai sektor ekonomi Iran termasuk pembinaan, pekilangan, tekstil dan perlombongan, di samping lapan pegawai kanan Iran, yang sesetengahnya telah pun dikenakan sekatan. — BERNAMA

Leave a Reply