SEKOLAH DITUTUP JIKA RAMAI GURU DIKUARANTIN

(GAMBAR ARKIB: Mohd RASFAN / AFP)

TASEK GELUGOR: Sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan besar guru dikuarantin akibat COVID-19 hingga menjejaskan operasi sekolah akan diarahkan tutup oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin menjelaskan, keputusan penutupan sekolah-sekolah terlibat itu nanti akan berpandukan penilaian risiko dijalankan pejabat kesihatan daerah (PKD).

“PKD adalah pihak yang pakar membuat penilaian dan mereka akan meneliti secara lebih mendalam mengenainya. Jika ada tingkat, bangunan tertentu atau keseluruhan sekolah perlu ditutup, ia akan dilakukan berdasarkan arahan itu.

“Bagi pihak KPM pula, jika kami mendapati operasi sekolah boleh terjejas disebabkan sebahagian besar guru dikuarantin, maka kementerian akan melihat sama ada operasi sekolah boleh diteruskan atau ditangguh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dan wang penyelenggaraan kepada 31 sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor hari ini.

Sebelum ini terdapat gesaan agar tindakan drastik termasuk penutupan diambil terhadap sekolah yang melaporkan kes COVID-19.

Beliau dalam pada itu menyeru warga pendidik segera mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 memandangkan mereka antara kumpulan penting yang diberi vaksinasi. — AlHijrah Online

Leave a Reply