IBU DENGAR JERITAN KETIKA BANGUN SUBUH SEBELUM ANAK DITEMUI DIKELAR

SALAH SEORANG ADIK MANGSA MENUNJUKKAN TEMPAT MANGSA DITEMUI. (GAMBAR KREDIT SINAR HARIAN)

JOHOR BAHRU: Ibu kepada seorang lelaki yang meninggal dunia dengan kesan kelar di leher serta tikaman di rusuk kanan terdengar jeritan minta tolong sebelum anaknya ditemui terbaring di tepi jalan depan rumah.

Samsinar Bujang, 63, berkata, dia menyedari kejadian menimpa anaknya, Ruhaizat Rusli, 26, ketika sedang mengambil wuduk untuk solat Subuh.

“Saya terdengar suara perempuan menjerit dengan kuat. Saya sangka jeritan itu dari lebuh raya berdekatan kerana tidak mungkin anak menantu saya yang menjerit.

“Anak sulung saya, Rudiriadi Rusli, 41, keluar rumah selepas mendapati isteri Ruhaizat menjerit meminta tolong,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Rudiriadi kemudian ternampak adiknya terbaring di tepi jalan depan rumahnya sebelum bergegas membawa mangsa yang dalam keadaan nazak ke hospital.

Sebaik tiba di hospital mangsa dilaporkan sudah meninggal dunia.

“Saya melihat mayatnya dan sempat menciumnya. Saya lap darah di kaki dan nampak kesan kelar di leher dan dadanya.

“Ketika itu ada cebisan paru-paru dan saya simpan untuk dikebumikan bersama jenazah,” katanya memetik Sinar Harian.

Menurut Samsinar, Ruhaizat serta isteri dan seorang anaknya tinggal bersamanya di rumah tersebut.

Dia juga memaklumkan anaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan isteri.

Sebilah pisau pemotong kertas dan serpihan mata pisau ditemui polis tempat kejadian.

Isteri mangsa kini ditahan untuk membantu siasatan dan saksi bebas akan dikesan untuk siasatan pihak polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sehingga laporan bedah siasat diperolehi. — AlHijrah Online

KREDIT: SINAR HARIAN

Leave a Reply