Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SEMASA GAZA TERUS DIBOM, HEBRON TURUT DIJARAH DENGAN PENGUSIRAN TERANCANG PELAMPAU YAHUDI

DUNIA

SEMASA GAZA TERUS DIBOM, HEBRON TURUT DIJARAH DENGAN PENGUSIRAN TERANCANG PELAMPAU YAHUDI

“Mereka membakar dan memusnahkan rumah kami. Tidak cukup dengan itu merampas pula makanan dan kambing ternakan kami. Akhirnya kami terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang ke sini, dengan harapan dapat pulang semula nanti.”

Gambar fail (AFP)

KUALA LUMPUR: Pendatang haram dan pelampau Yahudi turut sama mengganas membakar kediaman dan ternakan milik rakyat Palestin Hebron, selain mengugut untuk membunuh penduduk di situ dengan dilindungi anggota tentera Israel, ketika dunia menumpu kepada keganasan tentera Israel, Gaza.

Muhammad Abdul Rahim al-Shalaladah, 80, yang kini terpaksa merempat di sebuah tanah terbiar di bandar Seir, menjelaskan bahawa sejak serangan ke atas penduduk Gaza bermula Oktober lepas, pendatang haram Israel dengan membawa senjata dan memecah masuk rumah mereka siang dan malam selama 22 hari berturut-turut.

Rumahnya yang terletak di al-Qanub, timur laut Hebron musnah dibakar pendatang haram Israel. Kereta dan kambing ternakannya turut dirampas.

“Mereka membakar dan memusnahkan rumah kami. Tidak cukup dengan itu merampas pula makanan dan kambing ternakan kami. Akhirnya kami terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang ke sini, dengan harapan dapat pulang semula nanti,” katanya kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Selain beliau dan keluarganya, nasib lima buah lagi keluarga Palestin di situ masih tidak menentu tanpa bekalan makanan dan tempat tinggal sewajarnya sejak dihalau dari kediaman mereka awal November lalu.

“Mereka datang dengan tentera Israel dan memperlakukan kami dengan kasar. Menggertak wanita dan anak-anak kami sambil mengacukan senapang dan mengugut untuk membakar dan memusnahkan kediaman kami. Kami tiada pilihan selain terpaksa melarikan diri,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Qasim Na’im yang turut dihalau bersama lima anaknya, pada 2 Nov lalu unit Metzada Israel membakar rumahnya dan merampas sejumlah 150 ekor kambing ternak miliknya yang bernilai hampir sepuluh ribu Dinar Jordan.

“Malam itu saya sekeluarga terpaksa tidur di jalanan. Mereka mengugut akan menembak kami sebelum benar-benar bertindak melepaskan tembakan ke arah kambing peliharaan kami.

“Bimbang diapa-apakan, kami terpaksa keluar dan berjalan kaki menuju Seir, meninggalkan kediaman, kenderaan dan hasil tuaian kami,” katanya.

“Lebih malang apabila tiba di Seir, kawasan itu bukan saja terbiar dan terpencil tetapi juga tanah berbatu. Tiada tempat berlindung di tengah-tengah cuaca musim sejuk yang mencengkam tulang,” tambahnya.

Sementara itu, aktivis kemanusiaan Palestin Inad Abu Hawash berkata serangan pendatang Israel di Tebing Barat terutama di Hebron dan Bethlehem semakin menjadi-jadi apabila Israel mengumumkan darurat mengakibatkan semakin banyak pembunuhan, kerosakan harta benda dan pengusiran rakyat Palestin berlaku.

“Bermula awal November lalu, pendatang Israel semakin bertindak ganas mengusir penduduk al-Qanub. Ini merupakan sasaran pengusiran terancang ketiga selepas pengusiran di Zanuta dan al-Ramain di selatan Hebron sebelum ini,” jelasnya.

Beliau turut menggesa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa untuk tampil membantu menghentikan pengusiran ini serta memberikan perlindungan dan bantuan buat penduduk yang diusir memandangkan musim sejuk yang semakin memuncak ketika ini. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading