SEMUA SEKOLAH BAWAH KPM DI SELANGOR DITUTUP

SELANGOR: Sekolah-sekolah di Selangor, yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diarah tutup untuk pembelajaran secara bersemuka bermula esok sehingga 12 Mei.

Makluman tersebut disahkan melalui Pengarah Pendidikan Negeri, Izmi Ismail melalui surat arahan penutupan sekolah di negeri Selangor.

Surat arahan penutupan sekolah tersebut diedarkan kepada semua Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Selangor yang bertarikh 5 Mei 2021.

Dalam kenyataan tersebut turut menyatakan KPM mengambil kira keputusan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS) yang mencadangkan sekolah untuk ditutup pada 6 Mei hingga 12 Mei 2021.

“Syor JKKNS ini adalah satu usaha untuk mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan kes COVID-19 di negeri Selangor,” menurut surat arahan itu.

Pergerakan murid asrama untuk pulang ke rumah masing-masing sempena cuti hari raya Aidilfitri tahun 2021 adalah seperti yang telah dijadualkan pihak sekolah.

“Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa, pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, semua Pegawai Pendidikan Daerah perlu memastikan guru-guru boleh melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.—AlHijrah Online

Leave a Reply