BANTUAN RM500 UNTUK PENIAGA, PENJAJA BAZAR RAMADAN

Image

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersetuju memberikan bantuan ‘one off’ RM500 kepada peniaga dan penjaja bazar Ramadan di enam daerah di Selangor yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan tersebut akan disalurkan selepas 1 Syawal bagi menanggung kerugian yang dihadapi susulan arahan penutupan bazar Ramadan yang bermula Sabtu, 8 Mei 2021.

“Menyedari masalah melanda terhadap peniaga dan penjaja bazar Ramadan, dianggarkan 11 ribu penjaja terjejas dengan pengumuman yang dibuat, kerajaan akan membantu mereka melalui pendaftaran dalam kalangan mereka dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kita salurkan bantuan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Selangor tidak membenarkan bazar Ramadan untuk beroperasi walaupun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi kebenaran untuk ia dianjurkan.

“Dengan mengambil kira jumlah hari berniaga telah mencecah 25 hari menjelang hari Jumaat nanti, saya kira tidak begitu kejam untuk menutup operasi bazar Ramadan,” katanya.

Pada masa yang sama, bazar Aidilfitri dan pasar malam dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP sehingga jam 10 malam dengan syarat yang telah ditetapkan.

Antara syarat yang dikenakan adalah jumlah pengunjung pada satu-satu masa adalah dihadkan dan sistem nombor giliran akan dikuatkuasakan.—AlHijrah Online

Leave a Reply