Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SENATOR AS BERNIE SANDERS TIDAK AKAN HADIR UCAPAN NETANYAHU DI KONGRES

DUNIA

SENATOR AS BERNIE SANDERS TIDAK AKAN HADIR UCAPAN NETANYAHU DI KONGRES

“Apabila anda menghadiri majlis makan malam pengumpulan dana dengan rakan-rakan jutawan anda, dan anda menikmati stik dan udang galah yang lazat serta makanan lain yang hebat, sila ingat gambar-gambar ini dari Gaza.”

Bernie Sanders -foto AFP

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS) Bernie Sanders pada Isnin mengulangi bahawa beliau tidak akan menghadiri ucapan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada sesi bersama Kongres.

“Tidak, Tuan Presiden, saya tidak akan hadir untuk ucapan itu,” kata Sanders, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sanders berkata beliau percaya ia adalah “hari yang sangat menyedihkan” bagi AS apabila Netanyahu telah dijemput oleh pemimpin dari kedua-dua parti politik, termasuk Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson (Republikan); Ketua Majoriti Senat Chuck Schumer (Demokrat); Pemimpin Minoriti Senat, Mitch McConnell (Republikan) dan Pemimpin Minoriti Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries (Demokrat).

Menurut sumber tempatan yang memetik pejabatnya, tiada tarikh ditetapkan untuk ucapan Netanyahu, susulan laporan yang menyatakan ia dijadualkan pada 13 Jun.

Dengan menunjukkan gambar kanak-kanak yang kelaparan di Gaza yang diambil oleh Getty, Reuters dan Al Jazeera, Sanders mengecam Johnson yang menuduhnya “mengulangi kenyataan Hamas” kerana enggan menghadiri ucapan oleh Netanyahu.

“Saya akan berkata kepada Speaker Johnson bahawa apabila anda menghadiri majlis makan malam pengumpulan dana dengan rakan-rakan jutawan anda, dan anda menikmati stik dan udang galah yang lazat serta makanan lain yang hebat, sila ingat gambar-gambar ini dari Gaza,” kata Sanders.

Senator itu menambah bahawa AS perlu ingat bahawa kerajaan Netanyahu sengaja menyekat bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, air dan bekalan perubatan.

Beliau yang memetik PBB sebagai berkata sejak pertengahan Januari, sekurang-kurangnya 30 kanak-kanak telah mati kelaparan dan lebih 93,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun telah disaring untuk kekurangan zat makanan.

Walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, Israel meneruskan serangan kejamnya di Gaza.

Lebih 36,400 rakyat Palestin telah terbunuh di wilayah tersebut hampir lapan bulan konflik, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 82,600 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading