SEORANG RENTUNG KEMALANGAN DI LEBUH RAYA GUTHRIE

SHAH ALAM: Seorang pemandu Mazda berwarna merah ditemukan rentung dipercayai selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terbakar di sebelah kiri penghadang jalan di kilometer 3.6 Lebuh Raya Guthrie dari Shah Alam sebelum tol Bukit Jelutong, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana turut terbakar bersama kenderaan dipandu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Iqbal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazan Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.15 pagi dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

Katanya, setiba di tempat kejadian pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Mazda yang tidak diketahui nombor pendaftaran telah terbakar 100 peratus akibat kemalangan.

“Terdapat seorang mangsa ditemukan rentung di dalam kereta tersebut dan mayat yang tidak diketahui identiti serta jantina itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply