SERAH SEMULA ASET: KEPUTUSAN KERAJAAN AMBIL KIRA KEUPAYAAN, KESTABILAN KEWANGAN TH

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) dari Urusharta Jamaah Sdn Bhd telah mengambilkira keupayaan dan kestabilan kewangan Tabung Haji sekarang setelah kejayaan Pelan Penstrukturan dan Pemulihan Tabung Haji. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata TH akan memulakan perbincangan secara rasmi bersama pihak Kementerian Kewangan Malaysia untuk langkah-langkah pentadbiran pengambilan semula aset tersebut.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerahkan semula aset TH yang dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2018. 

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melonjakkan Tabung Haji dengan tadbir urus integriti dan profesional demi menjaga kepentingan umat Islam dan para pendeposit,” katanya dalam kenyataan hari ini

Tambahnya keputusan yang dibuat perdana menteri selaku Menteri Kewangan telah membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan untuk memartabat Tabung Haji selaku institusi berdaya saing serta model pengurusan terbaik yang menghayati nilai-nilai Islam. 

Semalam ketika mengumumkan keputusan pemindahan semula aset tersebut Anwar berkata pertimbangan itu dibuat setelah meneliti laporan awal serta melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit, serta pengurusan cekap dan berintegiriti oleh kepimpinan baharu institusi pengurusan haji negara itu. 

Tambahnya rundingan berkaitan pemindahan semula aset berkenaan akan melibatkan kesemua aset yang telah dipegang SPV sebelum ini, dan penyerahannya akan dilakukan secara berperingkat. 

Pada Mac 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika itu berkata langkah memindahkan aset RM19.9 bilion kepada SPV berjaya merapatkan jurang antara aset dan liabiliti yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu. — AlHijrah Online

Leave a Reply