SERANGAN KALI KETIGA DI POS SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND

KUALA LUMPUR: Insiden tembakan di pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis awal pagi Selasa yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Koperal Baharuddin Ramli, 54, manakala rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah adalah kejadian kali ketiga bulan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, serangan pertama dilaporkan berlaku pada 12 November dan kejadian kali kedua berlaku tiga hari kemudian.

Bagaimanapun dua kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan pada anggota PGA dan tembakan itu dipercayai dilepaskan secara rambang.

Pihaknya percaya tembakan itu bertujuan untuk menakut-nakutkan anggota PGA yang menjalankan tugas kawalan di pos sempadan berkenaan.

“Sebelum ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman ada mengadakan mesyuarat bagi mengumpul maklumat mengenai lorong tikus di kawasan sempadan.

“Antara lorong tikus yang dikenal pasti adalah di lokasi kejadian. Pihak Batalion 3 ada menerima maklumat akan ada aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan antara dua atau tiga hari ini jadi kedua-dua mendiang Koperal Baharuddin dan Koperal Norihan telah ditugaskan membuat tinjauan,” katanya.

Penyeludup dari Thailand yang menceroboh sempadan negara di lokasi berkenaan didapati datang untuk mengambil barang seludup termasuk daun ketum dan ubat batuk.

Bagaimanapun mereka terserempak dengan dua anggota PGA berkenaan dan berlaku tembak menembak yang dipercayai akibat terkejut dengan kehadiran polis. — AlHijrah Online

Leave a Reply