SIAR AZAN MAGHRIB AWAL 4 MINIT, PENYAMPAI RADIO MOHON MAAF

TAWAU: Seorang penyampai stesen radio tempatan di Tawau tampil memohon maaf atas kesilapannya menyiarkan azan maghrib empat minit lebih awal, semalam.

Dalam satu hantaran di Facebook Mohd Safwan, beliau menjelaskan bahawa berlakunya kesilapan teknikal hingga menyebabkan azan maghrib disiarkan dua kali iaitu pada 6.16 petang dan 6.20 petang.

“Saya, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan maghrib disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.

“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya, menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu,” katanya.

Jelasnya, kesilapan yang berlaku itu adalah berpunca daripada dirinya sendiri dan bukannya daripada pihak radio tempatan berkenaan.

Sebelum ini bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah menyatakan hukum bagi mereka yang berbuka puasa lebih awal dari waktu sebenar akibat kesilapan laungan azan tersebut.

Dalam siri Bayyan Linnas, pihaknya lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah diqada.–AlHijrah Online

Leave a Reply