Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SIASATAN PENUH PINTU LRT TERBUKA PERLU DIBENTANG DALAM TEMPOH 21 HARI

DALAM NEGARA

SIASATAN PENUH PINTU LRT TERBUKA PERLU DIBENTANG DALAM TEMPOH 21 HARI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memandang serius berhubung insiden pintu tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang terbuka ketika beroperasi pada Isnin lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya memberi tempoh selama 21 hari kepada Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) bagi menyediakan laporan itu atau selewat-lewatnya sebelum 16 Ogos depan.

“Pihak Rapid Rail juga diarahkan untuk memberikan laporan Siasatan Awal Insiden dalam masa 7 hari atau sebelum 2 Ogos 2021 dan Laporan Siasatan Penuh beserta semua dokumen sokongan dalam masa 21 hari atau pada 16 Ogos 2021.

“Tindakan selanjutnya ke atas pengendali berlesan perkhidmatan kereta api tersebut akan diputuskan setelah laporan lengkap dan maklumat penuh mengenai insiden tersebut diperoleihi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ka Siong, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga akan membuka kertas siasatan bagi kes ini dan ia akan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Jelasnya di bawah Akta 715 itu, aspek keselamatan adalah suatu keutamaan dan syarat di bawah lesen pengendali perkhidmatan kereta api.

“Dapatan awal siasatan pihak APAD mendapati ia adalah berpunca daripada sistem Door Close Confirmation Unit (DCCU) yang gagal berfungsi secara normal.

“Namun, adalah terlalu awal untuk menyatakan bahawa punca sebenar adalah kerana kegagalan DCCU tersebut memandangkan juga berkaitan dengan penyelenggaraan dan juga prosedur operasi standard (SOP) pengendalian tren ketika menghadapi masalah teknikal,” katanya.

Ketika kejadian, tren tersebut bergerak di antara stesen LRT Ara Damansara menghala ke stesen LRT Lembah Subang.

Seramai tujuh orang penumpang di dalam tren tersebut dan tiada kecederaan dilaporkan.

Rapid KL dalam kenyataan semalam memohon maaf susulan insiden dan memberi jaminan siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti punca. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading