SOP TAMBAH BILANGAN JEMAAH DI MASJID & SURAU DIUMUM DALAM MASA TERDEKAT – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Prosedur Standard Operasi (SOP) Perluasan Kapasiti bagi Solat Jumaat dan Solat Berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata beliau telah membentangkan cadangan SOP itu dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini yang dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zulkifli berkata beliau menyedari ramai merindukan masjid dan surau sebagaimana dirinya.

“Ini adalah tempoh penting bagi sektor sosial (aktiviti masjid dan surau) bagi memasuki fasa strategi keluar (exit strategy).⁣⁣

“Pendekatan “soft landing” (pembukaan masjid/ surau dan perluasan kapasiti jemaah secara bertahap bermula 15 Mei 2020) dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri khususnya pihak berkuasa agama negeri dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia adalah wajar bagi memastikan kesejahteraan umat Islam secara amnya dan juga imej institusi masjid dan surau di Malaysia terus dicontohi dan disegani di peringkat dalam dan luar negara. ⁣⁣

“Keputusannya akan diumumkan sedikit masa lagi, insya-Allah,” kata menteri agama itu dalam posting terkini beliau di Facebook hari ini.

Ketika ini, kerajaan telah membenarkan pembukaan masjid dan surau secara bersyarat mengikut jumlah jemaah yang dihadkan mengikut bidang kuasa negeri dengan pematuhan SOP ketat.

SOP itu digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 di dalam negara, selain bertujuan menjaga imej rumah ibadat umat Islam. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply