KEDAI GUNTING RAMBUT DIBENAR BEROPERASI BERMULA 10 JUN

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan gunting rambut, dandanan dan kecantikan dibenar beroperasi mulai 10 Jun ini dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan perkara itu selepas mengambil kira sumbangan sektor terbabit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang berjumlah RM13.5 bilion setahun.

“Sektor ini juga melibatkan 74,500 tenaga kerja dari 16,728 perniagaan yang berdaftar. Antara aktiviti yang dibenarkan termasuk gunting rambut asas, cuci rambut asas, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, manicure dan pedicure (merias dan merawat kuku) serta cucian dan rawatan muka,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang siarkan stesen TV tempatan dari Putrajaya hari ini.

Beliau berkata bagi golongan yang berisiko iaitu individu berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan dilakukan melalui temu janji dan tanpa kehadiran pengunjung daripada kumpulan umur lain.

Katanya, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun pula, ibu bapa dibenarkan hadir sama tapi perlulah mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti pelitup muka dan apron pakai buang.

“SOP yang perlu dipatuhi termasuklah pemakaian pelindung muka dan apron pakai buang oleh pekerja, pemakaian satu set sarung tangan bagi setiap pelanggan dan jarak antara kerusi tukang gunting perlulah sekurang-kurangnya dua meter,” katanya.

Beliau turut meminta pengusaha menyediakan apron pakai buang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi. — AlHijrah Online

Leave a Reply