COVID-19: KES BAHARU MASIH DUA ANGKA, KES SEMBUH 79.9 PERATUS

PUTRAJAYA: Jumlah jangkitan kes baharu positif COVID-19 yang dilapor hari ini masih kekal dua angka iaitu 37 kes dengan 10 kes melibatkan warganegara Malaysia.

Kes membabitkan kematian pula hanya satu kes dilaporkan dua hari berturut-turut sejak semalam (5 Jun) menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 117 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 29 kes penularan di dalam negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan 10 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,303 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,552 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini. 

Beliau berkata kes yang pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini adalah 25 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,635 kes atau 79.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian berkenaan membabitkan wanita warga tempatan berumur 79 tahun yang merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 ke 1508. 

“Kes kematian ke-117 (kes ke-2296) mempunyai gejala bermula pada 18 Mac dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Mac setelah disahkan positif COVID-19. Kes disahkan meninggal dunia pada pukul 2.05 petang semalam (5 Jun),” katanya. 

Sehingga kini, sebanyak lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, mengulas makluman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengenai saranan penggunaan pelitup separuh muka, Dr Noor Hisham menasihatkan individu yang bergejala digalakkan menggunakannya terutama di kawasan umum yang sesak bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Ingin diingatkan bahawa penjarakan sosial, amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta lain-lain langkah kesihatan awam patut diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Ini merupakan amalan paling utama yang perlu dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat dalam memerangi COVID-19. Pihak WHO juga akan terus menjalankan kajian dan akan memberi maklumat terkini kepada semua dari semasa ke semasa,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply