SPAN minta polis siasat elemen sabotaj

Charles Santiago

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah membuat laporan polis terhadap dua insiden pencemaran yang berlaku di muka sauk empat loji rawatan air (LRA) di Sungai Selangor, pagi ini.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago dalam satu kenyataan hari ini berharap pihak Polis DiRaja Malasyia (PDRM) menyiasat elemen sabotaj dalam kedua-dua insiden pencemaran ini.

Menurut Santiago, pihak SPAN akan menggunakan Akta sedia ada untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

Di bawah Seksyen 121(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655), adalah menjadi satu kesalahan untuk mencemarkan atau menyebabkan supaya dicemarkan mana-mana alur air atau sistem bekalan air atau mana-mana bahagian alur air atau sistem bekalan air itu dengan apa-apa bahan, yang berkemungkinan akan membahayakan nyawa mana-mana orang.

Beliau juga berharap agar pihak kerajaan negeri Selangor menamatkan konsesi kontraktor-kontraktor pasir sekiranya mereka didapati terlibat dalam insisden pencemaran ini dan meminta kerjasama Majlis Daerah Hulu Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil tindakan terhadap semua pihak yang terlibat.

Dua insiden berkait pencemaran di LRA Sungai Selangor berlaku dalam tempoh tiga hari antara 19 hingga 21 Julai, di mana insiden pertama melibatkan pencemaran bau yang menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang yang berlaku pada Jumaat lalu.

Insiden kedua pula ialah pencemaran diesel akibat kerja-kerja pengorekan pasir di hulu sungai yang mengakibatkan keempat-empat LRA terpaksa dihenti tugas sekali lagi pada 21 Julai, apabila pemulihan bekalan air baru saja mencapai tahap 97 peratus.

Leave a Reply