SPOTIFY TV ALHIJRAH TAWAR LEBIH 200 KANDUNGAN AUDIO ISLAMIK

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Bermula Ramadan ini, AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) melancarkan platform digital ‘Spotify TV AlHijrah‘ dalam usaha media Islamik itu memenuhi kehendak audiens di dalam dan luar negara.

Spotify TV AlHijrah itu menawarkan lebih 200 kandungan audio Islamik seperti tazkirah dan nasyid yang akan dikemaskini setiap hari.

Antara kandungan audio menarik adalah program tazkirah 30 Minit Ustaz Don, Taman Syurga, Kisah Nabi, Madrasah Sirah, Ihya Ramadan, E-Kaunter Netizen, Surah-surah Al-Quran dan Malam Cinta Rasul.

Ketua Unit Digital TV AlHijrah, Mohd Fairos Ibrahim menyifatkan aplikasi Spotify sebagai platform digital yang menjadi kemestian dalam usaha dakwah.

Beliau berkata untuk kekal relevan dalam dunia ledakan digital, teknologi harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Spotify dilihat dapat mendekatkan lagi penonton kepada TV AlHijrah,” katanya kepada AlHijrah Online di sini hari ini.

Beliau berkata penerokaan platform Spotify ini sejajar dengan peredaran zaman dan mempelbagaikan pilihan kepada audiens TV AlHijrah.

“Melalui Spotify ini, penonton TV AlHijrah mempunyai pilihan mendengar semula bacaan al-Quran, tazkirah, kuliah, nasyid dan rancangan yang sebelum ini, hanya dapat ditonton melalui televisyen,” katanya.

Spotify TV AlHijrah turut menawarkan kandungan berbentuk keagamaan seperti perbincangan mengenai solat terawih, amalan di bulan Ramadan, zakat, sedekah dan infak pada bulan yang mulia bagi umat Islam itu.

Orang ramai hanya perlu follow Spotify TV AlHijrah untuk akses kepada program menarik ini. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply