Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SUAMI ISTERI WARGA EMAS DIDAKWA MILIKI SENJATA API, PELURU DAN DADAH

DALAM NEGARA

SUAMI ISTERI WARGA EMAS DIDAKWA MILIKI SENJATA API, PELURU DAN DADAH

Sepasang suami isteri warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran sah serta dadah, minggu lepas.

Sumber: BERNAMA

KLUANG: Sepasang suami isteri warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran sah serta dadah, minggu lepas.

Koh Yaw, 61, dan isterinya, Ong Kim Chu, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mereka secara bersama-sama didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis revolver .38 SPL jenama Taurus Brasil dan 33 butir peluru tanpa kebenaran yang sah serta dadah jenis kanabis dengan anggaran berat kasar 84.54 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan 3/2, Taman Sri Kluang pada 12.30 tengah malam 22 Jan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan memiliki dadah, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli manakala pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.

Hakim Mujib tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula pada 27 Feb untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading