SUAMI TUMBUK, TARIK RAMBUT ISTERI GARA-GARA ENGGAN KEMBALI HIDUP BERSAMA

JITRA: Seorang lelaki bertindak menumbuk belakang badan serta menarik rambut isterinya di khalayak ramai selepas berang dengan isterinya yang enggan kembali hidup bersama, di Tasik Bandar Darulaman, dekat sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata, pasangan suami isteri itu dikatakan dalam proses penceraian kini tinggal berasingan sejak 8 November lalu.

Katanya, semasa kejadian mangsa berusia 22 tahun itu pergi ke kawasan tasik untuk mengambil anak perempuannya berusia enam tahun yang dijaga sementara oleh suspek.

“Suspek berusia 33 tahun itu tiba-tiba bertindak memukul mangsa dan menyebabkan mangsa menjerit untuk meminta tolong sebelum orang awam datang membantu.

“Suspek bagaimanapun berhenti memukul mangsa dan melarikan diri selepas orang ramai menggertak untuk membuat laporan polis terhadap kejadian itu,” katanya, hari ini.

Susulan kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di belakang Pasar Changlun pada jam 1 pagi tadi bagi mengesan suspek namun rumah tersebut didapati tidak berkunci dan tidak berpenghuni.

Rodzi berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pukul sehingga mendatangkan kecederaan.–AlHijrah Online

Leave a Reply