SULTAN NAZRIN TEGUR PIHAK JADIKAN MAHKAMAH GELANGGANG TEGAKKAN BENANG YANG BASAH

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur tindakan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan menjadikan mahkamah gelanggang menegakkan benang yang basah terhadap perbuatan jenayah mereka.

Titah baginda, mereka yang melakukan pelbagai jenayah sanggup berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

“Sering terjadi, ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang telah melakukan dosa, mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka yang telah melakukan dosa.

“Mereka bersedia membayar fi guaman yang tinggi, yang sering kali pula dibiayai dari wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau hasil daripada perlakuan dosa,” titahnya pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di Ipoh, hari ini.

Titah Sultan Nazrin, realiti yang berlaku hari ini memberikan gambaran masih ramai ummah yang belum menghayati ajaran Islam sepenuhnya sehingga melakukan jenayah dan dosa secara berterusan, berulang malah lebih berani.

Baginda bertitah, perlakuan jenayah seperti mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai adalah jenayah yang memberi implikasi terhadap individu lain serta negara.

Sultan Nazrin bertitah, perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguatkuasa, mahkamah dan penjara.

Jenayah titahnya lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemai nilai-nilai Islam sehingga meresap dan benar-benar dihayati dalam jiwa setiap insan. – AlHijrah Online

Leave a Reply