‘SELAGI KAMI MAMPU, KAMI AKAN CARI JALAN’

KUALA LUMPUR: Meskipun layak menerima bantuan daripada pihak zakat atau baitulmal, sepasang suami isteri Halim Ismail dan Nurul Hazwani Zulkepli yang mempunyai empat orang anak dengan seorang daripadanya anak istimewa memilih untuk cuba bangkit dengan usaha sendiri.

Nurul Hazwani berkata, beliau sering menerima cadangan dan nasihat daripada kenalannya untuk memohon bantuan zakat, namun berpandangan ada insan di luar sana yang lebih memerlukan bantuan.

“Memang ada kawan-kawan cakap pergi la minta. Pada saya ada lagi pihak yang lebih memerlukan dan banyak lagi yang lebih memerlukan daripada saya.

“Sebab duit zakat ini sangat penting sebab orang bayar zakat. Selagi kami mampu, kami akan cari jalan,” katanya yang menjadi responden dalam program Dengar yang disiarkan secara langsung di TV AlHijrah malam tadi.

Seorang anak istimewa Nurul Hazwani mengidap hydrocephalus atau penyakit kepala besar.

Biarpun hidup serba kekurangan dengan kos penjagaan anak istimewa yang tinggi, Nurul Hazwani yang bekerja sebagai ejen ‘dropship’ manakala suami bekerja di kedai cuci kereta berjuang meneruskan kehidupan mereka sekeluarga tanpa mengharapkan bantuan semata-mata.

Pun begitu, nasib keluarga berstatus asnaf ini mendapat makluman pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui hospital yang merawat anaknya.

Selesai semakan, bantuan yang layak terus disalurkan kepada keluarga itu bermula tahun ini.

Bagi menyokong usaha keluarga Nurul Hazwani untuk cuba ‘berdiri sendiri’, beliau dijemput menjadi responden untuk berkongsi kesukaran dihadapinya selain usaha pihak Dengar untuk mendapatkan bantuan kepada Nurul Hazwani bagi memulakan perniagaan untuk membantu keluarganya.

Rezeki berpihak kepadanya apabila beliau menjadi menjadi usahawan asnaf pertama yang menerima bantuan Musa’adah Tijariyyah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Musa’adah Tijariyyah merupakan inisiatif terbaharu diperkenalkan Zulkifli yang memperuntukkan RM5,000 sebagai modal permulaan perniagaan kepada usahawan asnaf dan bantuan tambahan sehingga RM30,000 akan diberikan bergantung kepada prestasi perniagaan pemohon selama enam bulan.

Zulkifli turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada pihak pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada Nurul Hazwani semalam.

“Sykur alhamdulillah, memang tidak terfikir malam ini dapat rezeki macam ni. Esok hari jadi saya.

“Ini rezeki anak saya, rezeki saya jaga dia selama lapan tahun, rezeki Allah bagi. Allah dah takdirkan. Terima kasih,” kata Nurul Hazwani.

Kesemua bantuan tersebut katanya menyuntik semangat dirinya untuk berjaya dan mahu kembali jadi pembayar zakat selepas ini.

Dengar yang bersiaran secara langsung setiap hari Khamis, jam 9 malam merupakan cetusan idea Zulkifli untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Program tersebut juga merupakan platform untuk memaparkan usaha agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membantu mereka yang memerlukan selain pentas menerima kritikan untuk usaha penambahbaikan. — AlHijrah Online

Leave a Reply