SULTAN PAHANG DIPILIH SEBAGAI AGONG KE-16

Agong ke – 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan sebagai Sultan Pahang menggantikan ayahandanya. – Foto Sinar Online

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Majlis Raja-raja berkenan melantik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

Mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang berlangsung di Istana Negara jam 12.45 tengah hari tadi diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu.

Turut hadir, Sultan Pahang sendiri diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagaimanapun tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat khas tersebut.

Menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan itu.

Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja bermesyuarat hari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan
Yang di-Pertuan Agong – Foto Sinar Online

Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.

Sinar Online melaporkan jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses hanya akan selesai selepas baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas itu, majlis akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Leave a Reply