SUSPEK SAMUN WARGA EMAS DIBERKAS, ADA 18 REKOD JENAYAH LAMPAU

KUALA LUMPUR: Dua suspek kes samun seorang wanita warga emas di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur telah berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata, kedua-dua suspek masing-masing ditahan pada 27 dan 28 Mac 2022.

“Pada 27 Mac 2022, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warganegara. Suspek berusia 35 tahun dan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama enam hari bermula 27 Mac 2022 hingga 01 April 2022 bagi membantu siasatan.

“Susulan dari tangkapan awal, pada 28 Mac 2022 kira-kira 11.00 pagi, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan baru ke atas seorang lelaki warganegara dan merampas barangan yang dipercayai digunakan dalam kes tersebut beserta wang tunai sebanyak RM5,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kedua itu berumur 29 tahun dan reman ke atas suspek ini telah dibenarkan selama tujuh hari bermula 29 Mac 2022 hingga 04 April 2022.

Menurut Muhammad Idzam, kedua-dua suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau.

Dalam kejadian 26 Mac lalu, wanita warga emas itu kerugian kira-kira RM25,000 selepas disamun dua lelaki warganegara yang bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.

Kejadian berkenaan berjaya dirakam orang awam dan tular di media sosial.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – AlHijrah Onlne

Leave a Reply