Syarikat China labur dalam 422 projek di Malaysia


KUALA LUMPUR – Syarikat China melabur dalam 422 projek dalam sektor pengilangan di Malaysia sehingga akhir 2018 dan mewujudkan kira-kira 73,000 pekerjaan sejak Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) diperkenal.

Menurut Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian, pelaburan langsung asing Cina dalam sektor perkilangan di Malaysia meningkat lebih empat kali ganda dalam tempoh lima tahun lepas, dan menjadi sumber pelaburan asing terbesar dalam sektor itu untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Katanya lagi, menerusi sinergi antara semua pihak, kerjasama BRI dipercayai akan menjadi lebih mendalam, stabil dan luas.

“Jalur dan Jalan akan menjadi jalan perdamaian dan kemakmuran, dan pada masa yang sama membuka pembangunan hijau, inovasi, menghubungkan tamadun dan kerajaan yang bersih,” katanya pada Forum Tinjauan Malaysia-China 2019 di Petaling Jaya, hari ini, sebagaimana dipetik Bernama.

Bai Tian memberi contoh Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China yang dirujuk sebagai “Taman Berkembar Dua Negara”, dan projek lain seperti Keretapi Gemas-Johor Baru yang berjalan lancar. Malah, Laluan Rel Pantai Timur juga akan diteruskan selepas berlakunya rundingan mesra.

China Railway Rolling Stock Corp telah menubuhkan kilang gerabak di Perak, yang dilengkapi teknologi canggih serta kapasiti pengeluaran terbesar dalam kalangan negara anggota Asean.

Acara bertema “Apa Seterusnya selepas Forum BRI Beijing”, dianjurkan oleh The Star Media Group.

Leave a Reply