TABUNG WAKAF AIR: LEBIH RM2.5 JUTA TELAH DIAGIHKAN

KUALA LUMPUR: Sumbangan para pewakaf kepada Tabung Wakaf Air menyaksikan sejumlah RM2,586,498.98 telah diagihkan bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) memaklumkan dana yang diagihkan setakat 2 Julai 2023 itu digunakan untuk pelaksanaan 58 projek wakaf air.

“Wang wakaf itu digunakan untuk pembelian pam air, pemasangan paip, penggalian perigi, penyambungan paip ke rumah, penyediaan tangki simpanan air, penyenggaraan paip dan penyenggaraan tangki septik.

“Agihan wakaf dilaksanakan di setiap negeri di Malaysia,” jelas YWM.

Wakaf Air adalah satu bentuk pembiayaan kepada perkhidmatan air bersifat mudah, cepat dan mampan yang disediakan kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira agama, kaum dan bangsa di seluruh Malaysia.

Ia adalah inisiatif bersama antara YWM dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Setakat awal Julai lalu tabung tersebut telah berjaya mengumpul RM4,485,381.23.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang kepada Tabung Wakaf Air boleh salurkan terus ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank 2124-57600-01304 atau layari https://www.ywm.gov.my/wakaf-air untuk maklumat lanjut. — AlHijrah Online

Leave a Reply