TAHANAN PALESTIN, ANHAR AL DEEK SELAMAT LAHIRKAN BAYI LELAKI

RAMALLAH: Bekas tahanan Palestin, Anhar Al-Deek selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital al-Istishari, semalam.

Anhar, 25 tahun, melahirkan bayinya, Alaa setelah menjalani pembedahan ‘Caesarean’ dengan selamat.

Suaminya, Thaier Al Hija mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu untuk membebaskan isterinya untuk melahirkan anak kedua itu di pangkuan keluarga.

“Jika Anhar melahirkan di dalam penjara Israel, ianya membuatkan kami merasa takut dan cemas kerana kami tidak tahu apa yang boleh terjadi di dalam penjara,” katanya.

Bagi ibu Anhar, Aisha Al-Deek, sekiranya Anhar tidak dibebaskan dan terpaksa melahirkan bayinya di penjara, ia dianggap ‘hari pengebumian’ buat mereka sekeluarga.

“Saya sangat gembira kerana Anhar berada dengan kami, sekarang saya dapat menjaganya serta bayi dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, Anhar telah dibebaskan dari penjara Israel selepas tindakan negara haram tersebut yang memenjarakannya tanpa rasa belas kasihan terhadap ibu yang sedang sarat mengandung dikecam masyarakat dunia.

Zionis Israel terpaksa akur untuk membebaskan Anhar dengan syarat dia diikat jamin 40,000 shekel atau kira-kira AS$12,500.

Tanda sokongan masyarakat dunia itu telah menyelamatkan Anhar daripada melahirkan bayinya dalam keadaan kakinya bergari di dalam penjara Israel.

Pada Mac lalu, Anhar ditangkap Zionis Israel selepas dituduh cuba menikam peneroka Israel di sebuah kawasan penempatan haram Israel yang merupakan tempat tinggalnya.–AlHjrah Online

Leave a Reply