TAJUDDIN DIKOMPAUN LANGGAR SOP DALAM PARLIMEN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Ahmad Tajuddin Abdul Rahman dikompaun selepas tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di ruang legar Parlimen semasa Persidangan Khas Dewan Rakyat, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, pihaknya mengesan satu ciapan pengguna akaun Twitter yang menunjukkan Tajuddin melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati Tajuddin telah menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat pada Isnin.

“Pada hari yang sama jam lebih kurang 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama dengan seorang individu lain di ruang legar Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, satu notis kompaun di bawah Seksyen 25 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) telah dikeluarkan terhadap ahli Parlimen tersebut pada jam 1 tengah hari tadi

“Nilai kompaun yang perlu dijelaskan wakil rakyat itu akan ditentukan kelak oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam dalam memutuskan penularan jangkitan pandemik COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, Tajuddin yang merupakan bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah dikompaun sebanyak RM1,500 selepas didapati tidak memakai pelitup muka semasa sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT).—AlHijrah Online

Leave a Reply